Borak-Borak Gaya Kencang,Jangan Lupa Dicocok Pengajaran



1.Saya sangat tidak setuju dengan mengatakan pendidikan itu hanya semata-semata pada 10 A+ nya mahupun pada dean's listnya.Dan sebagainya.

2.Mungkin saya boleh menceritakan serba sedikit tentang satu pengalaman sejak beberapa minggu ini.Cerita ini tentang salah satu keluarga kerabat saya.Darah daging saya.Bukan bertujuan untuk membuka pekung di dada atau memburuk-burukkan,tapi mungkin pengalaman ini boleh dijadikan sebagai pengajaran yang berguna di masa yang akan datang.

3.Terdapat sebuah keluarga ini.Pilot dan co pilot keluarga ini berjaya melahirkan anak-anak yang cemerlang.Dari kecil,anak-anak mereka adalah yang terbaik semasa di tadika,di sekolah dan di universiti(itu saya tidak pasti).

4.Punca kejayaan?Desakan ibu bapa yang terus menerus.Hidup ini seolah-olah didedikasikan kepada belajar,belajar,cemerlang,exam,dan yang seangkatan.

5.Namun apabila menjejakkan ke alam universiti,anak-anak ini terus berubah.Dari malaikat bertukar menjadi kurang malaikatnya.Teramat kurang.Dahulunya lagak seperti seorang ustazah,apabila terjebak dalam kancah sosial bebas,menjadi huru hara pemikiran dan jiwa.Begitu juga sebaliknya untuk lelaki

6.Kenapa ya?Saya pada mulanya sering terfikir.Kenapa macam ini boleh berlaku.Mereka seolah-olah mempunyai keluarga yang sempurna.Anak-anak yang cemerlang dalam exam.Tapi alangkah sedih bila difikir-fikirkan kembali,manusia yang dilahirkan atau robot.Bila robot memasuki alam yang penuh ranjau,rosak la pula sistemnya dicemari anasir-anasir luar.

7.Masalah keluarga,rumah tangga,remaja kini seolah-olah tiada pengakhiran.Tiada solusi.Solusi yang cuba dikemukan,semuanya berlandaskan kepada akal sendiri dan lagak penuh dengan pengalaman.Neraca timbangan sesuatu perkara tidak diletakkan pada tempat yang betul sedangkan Deen kita telah menyediakan satu neraca yang kita boleh timbang dengannya.Itulah neraca yang paling benar.

8.Penyelesainnya?Kita akan bincangkan kemudian di post yang akan datang.

(Sedang baca blog kanta pembesa')

Dialog di bawah antara Khaled Aboul Fadl dan seorang wanita Pakistan yang sedang menghampiri perkahwinan. Khaled seorang pakar perundangan muslim, lebih hebat lagi, beliau merupakan seorang yang memahami kecantikan undang-undang Tuhan. Ungkapannya ialah, 'Tuhan Maha Penyayang bukan Maha Pelarang'.
Dialog di bawah ini berkenaan perkahwinan dalam perspektif yang lebih bermakna, yang lebih hidup, yang lebih cantik. Perkahwinan, sebagai sebuah institusi kudus lantaran ia adalah perjanjian dengan Tuhan-menurut Quran. Bukankah Allah berfirman berkaitan dengan perkahwinan, “Dan, kami telah mengambil daripadamu sebuah perjanjian yang berat”? (An-Nisa’ : 21).
Khaled Abou El Fadl, mengistilahkan institusi suci ini sebagai perkongsian hidup dengan Tuhan, bukan sekadar perkongsian hidup dengan pasangan!
(Dialog ini saya kutip dari jalantelawi.com dan saya sunting. Saya sangat terkesan dengan Prof Khaled, kerana itu, saya berterima kasih kepada iFirdaus atas kerjanya mengutip dan menterjemah dialog ini ke Melayu dari buku asal Prof KhaledConference of The Books: The Search for Beauty in Islam, 2001, University Press of America)
(hiasan)
Terputus harapku itu pabila ketukan di pintu merampas fikiranku. Dari gelagatnya yang gelisah dan penuh gusar, sudahku sangkakan bahawa pastilah isunya berkenaan dengan perkahwinan. Daripada kesemua nikmat di dunia, tiadalah yang lebih memukau daripada institusi yang satu ini. Ia bermula dengan sebuah wa’ad (covenant) dengan Tuhan, tetapi sering dilalui dengan kebanjiran delusi yang menyedihkan.
Seperti kebanyakan yang lain sebelumnya, dia menyoal dengan kawalan muka yang ketat seolah-olah cuba untuk menyembunyikan arus kekeliruan yang tak terhenti-terhenti dalam dirinya.
“Saya orang Pakistan”, dia memberitahuku, “dan emak ayah saya, kurang lebih, memberi tekanan supaya saya berkahwin. Saya sangat sayang dan hormat emak ayah saya, dan saya mempercayai mereka dengan nyawa saya. Mereka, kurang lebih, memperkenalkan saya kepada seorang pelajar perubatan Pakistan, dan mereka yakin yang dia calon suami yang baik. Kata mereka perkahwinan itu separuh daripada iman, dan Allah pasti mahu saya berkahwin. Emak ayah saya, kurang lebih, adalah jenis mereka yang taat beragama dan saya sangat hormat dan sayangkan mereka, dan mempercayai mereka dengan nyawa saya. Saya seorang Muslim yang taat, dan amat bermakna buat mereka sekiranya suami saya juga orang Pakistan dan seorang doktor. Jadi saya hendak tahu apa itu hukum perkahwinan dalam Islam–apa dia panduan untuk mencari seorang suami yang soleh?”
Soalannya mengancamku untuk tercampak ke dalam khutbah panjang yang berpusing-pusing tak berhenti-henti, tetapi ku kelukan lidahku. Kenapa kita selalu berbicara berkenaan hukum apa yang boleh dan tidak boleh dan bukan tentang apa yang akan dianggap cantik?Adakah kita menyembah Tuhan yang Maha Melarang atau Tuhan yang Maha Cantik? Aku faham jika kita berbicara berkenaan kecantikan perkahwinan atau erti kebenaran dalam perkahwinan, tetapi peraturan-peraturan perkahwinan tidaklah dapat aku fahami. Dan, adakah menjadi seorang warga Pakistan dan juga seorang doktor itu sebahagian hukum atau sebahagian daripada kecantikan atau pula sebahagian daripada kebenaran? Dan, bagaimana kita mampu mendekati keputusan yang penting seperti ini sambil menyebut “kurang lebih” dan bukan dengan tenang dan tegas.
Daripada memberi khutbah, aku sebaliknya bercakap dengan wajah bersahaja, “Saudari, saya telah menyelidiki Quran dan Sunnah. Saya pasti bahawa seorang suami yang mempunyai kerjaya sebagai doktor dan berketurunan Pakistan tidak pula saya jumpa di mana-mana bahagian daripada kedua-duanya.”
Seperti yang dijangka, ini menjengkelkannya, lalu dia membantah, “Tetapi emak ayah mahu saya hidup stabil dan gembira.”
“Saudari,” jawabku, “Saya pasti itu yang mereka mahu, dan mereka hanya menasihati saudari berdasarkan apa yang mereka ketahui. Tetapi bukan seorang suami yang akan menyediakan hidup yang stabil dan gembira—Allah yang sediakan.”
Ini tidak meyakinkannya, maka dia menjawab, “Tetapi Allah hendakkan kita ambil berat tentang diri sendiri dulu sebelum Dia ambil berat tentang kita.”
Aku berfikir sendiri, inilah masanya untuk menguji perubahanku; ini masanya untuk bangkit. “Saudari”, sambungku, “itu benar. Allah mengubah manusia bila mereka sendiri mengubah apa yang di dalam jiwa mereka (Ar-Ra’d : 11). Tetapi apakah kriterianya? Apakah kriteria untuk mendapat rahmat Allah? Adakah rahmat Allah membawa kepada kehidupan yang sejahtera secara kewangannya? Adakah rahmat Allah bermakna ketenangan jiwa? Tidakkah aneh apabila kita menyebut yang perkahwinan separuh daripada iman, tetapi kita menilai yang separuh ini semata-mata atas perkiraan duniawi?”
Dia merenung ke arahku seolah-olah mencari satu tema umum dalam perkataanku tadi. Ujian perubahan biasanya adalah ujian terhadap konsistensi, maka aku ubah nadaku, “Saudari, ramai ulama’ yang menyangkal kesahihan hadis-hadis yang mendakwa perkahwinan itu separuh daripada iman, dan saya tidak percaya bahawa ianya hadis yang sahih. Pun begitu, ia datang daripada budaya yang pekat dengan akhlak Islam. Sebagai seorang individu, kita hidup untuk membina satu perkongsian dengan Allah, dan dalam perkahwinan rakan kongsinya menjadi tiga. Allah adalah rakan kongsi penuh dalam perkahwinan sebab itulah akad dan cerai mestilah dijalankan menurut piawai kecantikan yang sesuai untuk rakan kongsi seperti Allah.”
(hiasan)
Dia seperti tersentak dengan nadaku kerana kemudiannya dia berbicara lembut, “Tetapi adakah Allah berkongsi dalam semua perkahwinan?”
Aku teringat tentang kehodohan yang datang dalam banyak perkahwinan, dan aku tahu mengahwinkan kehodohan dengan Allah adalah suatu yang jelas mustahil. “Saudari tahu hadis yang menyebut barangsiapa berhijrah untuk mengahwini gadis atau berdagang, maka itulah nilai niat dalam penghijrahan mereka dan barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka ikhlaslah hijrah mereka?”
Dia menganggukkan kepala seraya aku menyambung, “Jika kita berkahwin untuk memberi kesan kepada sebuah kesatuan yang kudus, begitulah jadinya keadaan perkahwinan kita, dan jika kita berkahwin untuk kestabilan atau jaminan kewangan, begitulah keadaan perkahwinan kita yang berorientasikan duniawi pula. Kita melangkah kaki ke gerbang perkahwinan dengan menyatakan secara jelas wa’ad (perjanjian) dengan Tuhan. Tetapi adakah perjanjian ini hanyalah suatu bentuk formaliti atau adakah ia punya suatu makna.Bukankah Allah berfirman berkaitan dengan perkahwinan, “Dan, kami telah mengambil daripadamu sebuah perjanjian yang berat”? (An-Nisa’ : 21). Allah menggunakan bahasa yang sama ketika mana Dia menyebutkan tentang wa’ad dengan Bani Israel (An-Nisa’ : 154) dan perjanjian dengan para rasul (Al-Ahzab : 7). Jadi, adakah wa’ad perkahwinan sama beratnya dengan perjanjian dengan para rasul, ataukah Allah bergurau sahaja?
Tetapi, apakah perlunya wa’ad ini? Apakah tujuan perkahwinan? Apakah yang sepatutnya dicapai dengannya? Persenggamaan adalah salah satu tujuannya, tetapi Allah menekankan berkali-kali bahawa perkahwinan itu suatu sakan dan sakinah (ketenangan dan kedamaian), dan Dia menggunakan ungkapan yang sama untuk menggambarkan nikmat tidur malam yang merehatkan dan juga anugerah doa-doa Rasullullah. Ketenangan dan kedamaian, wahai saudari, bukanlah hak-hak dalam kehidupan, tetapi kedua-duanya adalah kurniaan Tuhan dan nikmat daripada-Nya.
Tetapi bagaimana kita boleh mencapai nikmat ini? Bagaimana hendak kita melayakkan diri? Kita mencapainya dengan memulakan sebuah perkongsian dengan Allah, bila mana Allah adalah sebahagian daripada hubungan perkahwinan, dan bila mana kita menjalankan kewajipan-kewajipan wa’ad. Bila kita berbuat demikian, Allah akan mengurniakan nikmat ketenangan dan kedamaian di dalam perkahwinan. Makanya, ya, Allah adalah sebahagian daripada setiap hubungan perkahwinan yang dimulakan dengan Asma’-Nya, tetapi kualiti perkongsian hidup ini bergantung ke atas tindak-tanduk pihak yang terlibat. Jika kita mulakan kehidupan berkeluarga kita, contohnya, dengan sebuah paparan kekayaan material yang berlebih-lebihan, susah untuk seseorang itu mengatakan bahawa ianya suatu permulaan yang diberkati. Sekiranya kita melaksanakan kewajipan-kewajipan perjanjian ini dengan konsisten, Allah pasti mengurniakan nikmat-Nya kepada kita.”

“OK,” dia menggaru-garu tangannya dan menarik nafas, “tetapi macam mana saya nak tahu dengan siapa yang saya patut kahwin? Bagaimana?”
(hiasan)
Kerana dia diam sejenak, aku pun berkata, “Pertama sekali, kenali diri sendiri. Perkahwinan memerlukan ketenangan dan keseimbangan, dan tanpa keseimbangan kita mungkin menceroboh hak orang lain. Tanpa keseimbangan kita tidak berlaku adil terhadap Allah dan juga hamba-hambanya. Selalunya di dalam perkahwinan, ataupun mana-mana perhubungan, kita seolah-olah “menelan” yang lain, kita mengunjurkan rasa tidak yakin, rasa takut dan segala macam kerisauan dalam diri kita terhadap yang lain. Tanpa pengetahuan diri, adalah mustahil untuk mengenali pasangan kita. Kalau tidak mengenal diri sendiri, kita tidak pasti sama ada kita melihat kebenaran pasangan kita atau melihat projeksi kita ke atas pasangan itu. Kita tidak tahu sama ada kita melihat sifat semulajadi pasangan kita atau dengan mudahnya mencipta suatu konstruksi yang kita sendiri cipta dan paksakan ke atasnya. Sudah pastilah pengetahuan-kendiri adalah suatu proses yang panjang lagi sukar, tetapi hanya dengan kesedaran kecil tentang peri-pentingnya pengetahuan-kendiri akan mendidik kita dalam membuat pilihan, dan memulakan suatu proses untuk menyediakan perkongsian yang adil dan diberkati.”
“Dan, selain daripada pengetahuan-kendiri?” soalnya dengan lembut.
“Saudari cuba yang terbaik untuk mencari seorang teman yang memahami makna perkongsian dengan Tuhan.Saya tidak bermaksud untuk saudari memilih seseorang yang sudah sediakala seorang Muslim yang taat, tetapi seseorang yang komited untuk menepati janjinya dalam perkongsian dengan Tuhan—seseorang yang komited terhadap perkahwinan yang dapat melampaui daripada sesuatu yang duniawi menjadi suatu yang ilahiah, sesorang yang berjuang untuk mengatasi kesengsaraan mihnah dunia untuk mendapatkan anugerah ketenangan yang abadi.” Aku berhenti sejenak dan kemudian mengusik,” Dan sekiranya orang itu adalah seorang doktor berketurunan Pakistan maka ianya tidak apa—kita tidak boleh menolaknya keluar daripada perkiraan ini.”
Dia tersenyum, dan hatiku menari-nari sebagai balasnya. Bersemangat, daku menyambung lagi, ”Sekarang, saya ingin tanya saudari, siapakah petunjuk dalam hidup kita? Manusia manakah yang patut menjadi contoh teladan dalam hidup kita?”
“Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam?”
“Ya,” kataku, “Kita mengikut Sunnah Rasul, Sunnah Yang Tercinta. Oleh itu, saya selalu bertanya ‘Apakah yang akan dilakukan baginda Nabi dalam situasi ini? Siapa yang akan dikahwini Nabi?’ Bila kita hendak berkahwin, kita sepatutnya memilih pasangan yang mencintai Sunnah Nabi—pasangan yang menjadikan Nabi sebagai model hidupnya. Usaha saudari lebih wajar dihabiskan untuk mencari seseorang yang mirip dengan akhlak dan kecantikan Nabi atau seseorang yang mencontohinya. Ini tidak bermakna berkahwin dengan seseorang yang berpura-pura menjadi Nabi atau menyamar sebagai baginda, tetapi seseorang yang berusaha untuk meneladani personaliti Nabi. Saya bukan bercakap tentang seseorang yang berfikir bahawa Nabi hanyalah berkaitan dengan penampilan luaran ataupun yang menganggap bahawa Sunnah adalah suatu pertunjukan fesyen. Saya sedang berbicara tentang seseorang yang membentuk hatinya mengikut hati baginda Nabi.”
Pernyataan ini menimbulkan kejutan. “Tapi,” dia membantah, “dengan standard itu, sampai bila pun saya tak kahwin. Tak ramai yang mempunyai perangai seperti Nabi.”
Al-afdal fa al-afdal,” tambahku, “Yang terbaik, kemudian yang kedua terbaik. Saudari carilah yang terbaik, kemudian yang kedua terbaik. Boleh saya katakan, jikalau saudari sucikan dan seimbangkan diri saudari, saudari hanya akan jatuh cinta dengan sesorang yang mengingatkan saudari tentang apa yang saudari sendiri cintai. Maka jika saudari mencintai Nabi, saudari pasti akan jatuh cinta dengan orang yang mencintai Nabi juga. Sudah pastilah mencintai baginda Nabi datang dalam pelbagai bentuk dan ukuran—saudari, mencintai Nabi adalah suatu perjalanan yang bertingkat-tingkat. Jika saudari berusaha untuk mengenali diri sendiri, dan bersungguh-sungguh menyucikan diri, saudari akan dapat menyedari kehadiran seseorang yang mempunyai walau sekecil mana pun perilaku Nabi. Tambahan lagi, kita mesti ingat bahawa pilihan kita memberi kesan kepada pilihan masyarakat. Sekiranya semua orang mahu mengahwini para doktor, saudari akan dapati bahawa bilangan doktor akan bertambah dalam masyarakat. Jika semua orang mahu mengahwini orang-orang yang mengikut personaliti Nabi, saudari akan dapati bahawa suatu dorongan sosial telah tercipta untuk mengkaji Nabi, dan semakin kita mengkaji Nabi semakin kita mengikut personalitinya.”
Dia bertanya perlahan-lahan,” Macam mana kalau saya jumpa orang macam tu, tapi dia tak meminang saya?”
Aku langsung menjawab tanpa teragak-agak,” Saudarilah yang pinang dia! Mengikut adatnya, lelaki yang meminang perempuan. Mengikut Islam, adat ini adalah salah satu bentuk kemegahan diri. Kita ada duluan (precedent) dalam kes Khadijah (wafat 3 tahun sebelum Hijrah/619 Masihi) dan beberapa wanita lain, yang sama ada pernah meminang Nabi ataupun sahabat-sahabatnya. Memanglah melakukan sesuatu yang di luar adat menguji kemuliaan maruah kita. Tetapi saudari haruslah menimbang rasa maruah diri saudari dengan keyakinan saudari atas kecantikan iman lelaki yang saudari sedang pertimbangkan. Adalah benar bahawa kemuliaan rasa rendah diri itu cantik, tetapi cantik lagi kemuliaan dan kerendahan hati untuk mencari kebenaran. Sebagai contoh, seorang wanita pernah melamar Nabi di hadapan Anas bin Malik (wafat 93 Hijrah/711 Masihi) dan anak perempuannya. Anak perempuan si Anas menegur bahawa wanita ini tidak malu dan rendah martabatnya. Nabi dengan cepat membetulkannya, dan memuji-muji kejujuran wanita ini. Oleh itu, para fuqaha’ seperti al-Bukhari, Ibn al-Munir (wafat 733 Hijrah/1333 Masihi), Ibn Hajar (wafat 852 Hijrah/1449 Masihi) dan Ibn Daqiq al-‘Id, antara ramai lagi, berpendapat bahawa tidak berdosa atau memalukan untuk seorang wanita melamar lelaki untuk berkahwin.”
Dia nampaknya sudah mulai letih, tetapi dia masih tersenyum, dan hampir berbisik, “Tapi perlukah kita berkahwin?”
Kebingungan, aku bertanya, “Maksud saudari?”
“Maksud saya, adakah perlu untuk kita berkahwin? Adakah ianya satu kewajipan agama? Emak ayah saya selalu berkata adalah berdosa jika tidak berkahwin dan berkahwin lebih baik daripada tidak kahwin. Betul ke?”
“Saudari, Nabi pernah bersabda bahawa sesiapa yang mampu patut berkahwin. Tetapi yang ditekankan di sini ialah kemampuan, kesediaan, dan keupayaan untuk berkahwin. Perkahwinan adalah binaan asas masyarakat dan sangatlah digalakkan, dan dalam sesetengah kes, diwajibkan. Tetapi kewajipan ini bukan qat’ie. Kita tidak boleh, contohnya, mengahwini seorang pembunuh dan mengatakan yang itu Allah kehendaki. Kita tidak boleh berkahwin sekiranya kita tidak mampu untuk menyempurnakan kewajipan kita terhadap pasangan dan keluarga, kemudian mengatakan bahawa Allah-lah yang memerintahkan kita berbuat begitu. Perkahwinan adalah suatu institusi yang dimasuki dalam konteks kewajipan-kewajipan dan hak-hak. Perkahwinan mesti menjadi suatu jalan untuk mencapai keredhaan Allah—bukan suatu jalan untuk mencabuli hak orang lain, dan mendapat kemurkaan-Nya.
Oleh itu, sebagai contoh, terdapat ahli fikah yang alim lagi wara’ sepertinya Ibn Taymiyyah dan Imam al-Nawawi yang tidak berkahwin. Saya pasti mereka tidak berkahwin kerana mereka merasakan mereka tidak dapat berlaku adil kepada pasangan, maka mereka memilih mudarat yang lebih kecil. Untuk kekal bujang dan tidak berbuat zalim kepada orang lain adalah lebih baik daripada berkahwin dan melayani keluarga dengan zalim. Ibn Taymiyyah sendiri berkali-kali menolak percubaan ibunya untuk mengahwinkannya dengan alasan kehidupannya tidak membolehkannya berlaku adil pada pasangannya. Jadi, jika soalannya adalah: adakah sebarang perkahwinan lebih baik daripada bujang? Jawapannya dengan jelas, tidak. Jika soalannya berbunyi: Adakah perkahwinan suatu Sunnah Nabi dan seseorang patut menumpukan sepenuh usaha untuk melayakkan dirinya untuk melangkah ke institusi yang berkat ini? Jawapannya sudah pastilah, ya. Sunnah Nabi tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk bunuh diri sama ada spiritual atau intelektual, dan Sunnah Nabi tidak boleh dijadikan alasan untuk melangkah masuk ke dalam sebarang perkongsian hidup walaupun jika perkongsian hidup ini tidak berlaku adil dengan Allah.”
Dia tersenyum lagi dan terus senyap buat sementara waktu sehingga kusangkakan dia sudah bersedia untuk berangkat. Sebaliknya, dia berkata,” Baiklah, tetapi saya harus mengaku saya tidak faham apa maksud perkongsian dengan Tuhan.”
“Ungkapan Arabnya ialah, “jelasku, ”tu’amilu Allah fi ma ta’mal, yang bermaksud anda berurusan dengan Allah dalam apa sahaja urusan anda. Sebagai pasangan berkahwin, tanyakan diri sendiri, ‘Apakah pandangan Allah terhadap cara aku membelanjakan wang dan menghabiskan waktu?’ Tanyakan diri sendiri, ‘Bagaimana Allah mahukan aku menghabiskan tenagaku? Apakah pandangan Allah terhadap perbualan, debat dan pergaduhan kita? Bagaimana Allah mahukan kita mencintai pasangan masing-masing?’ Kita tahu bahawa apabila kita senyum sesama pasangan, kita mendapat keredhaan Allah. Apabila kita berjenaka dan ketawa suami-isteri, kita mendapat keredhaan-Nya. Jika terdapat kasih-sayang, kasihan-belas dan ihsan terhadap sesama pasangan, Dia meredhainya. Jikalau kita saling membantu, Allah akan redha. Walau dengan bertegur-sapa, Allah meredhai kita. Dalam erti kata yang lain, kita sentiasa berurusan dengan Allah dalam setiap detik kehidupan kita.Kita haruslah sentiasa berusaha untuk menciptakan kecantikan dalam hidup kita—sejenis kecantikan yang mengesahkan kehadiran Tuhan sebagai rakan kongsi penuh dalam perkahwinan kita—sejenis kecantikan yang layak dikurniakan anugerah kedamaian.”
Sebaik sahaja selesai pernyataanku, dia terus beredar. Dia menarik nafas, mengucapkan terima kasih kepadaku, dan mendoakan supaya Allah sentiasa memberkatiku dan terus pergi. Aku berdoa semoga kearifanku melebihi kejahilanku. Aku tak tahu apa kesan kata-kataku ke atasnya. Aku tak tahu apa keputusan yang diambilnya. Aku tak tahu sama ada dia masih mengingati pesanku sewaktu terjaga atau lena. Aku tak tahu jika dia berfikiran bahawa untaian kata-kata yang didengarinya adalah bayangan kebenaran atau delusi mimpi. Apa yang aku tahu, dengan kepastian, adalah kita memilih realiti kita sendiri. Kita yang memilih sama ada untuk turunkan sesuatu ke tahap duniawi semata atau mendaki maqam firdausi. Kita jugalah yang memilih pasangan dan teman dalam perjalanan hidup kita ini.
Ku berdoa untuk diberikannya kefahaman dan keampunan sewaktu lampu ditutup. Tetapi ku rasakan berat di kerusiku mengingatkan beban-beban perubahan. Tuhan, aku tahu kami semua manusia biasa. Tetapi aku juga tahu bila mana kami menjadi rakan kongsi-Mu, kami melalui satu perubahan. Kami tidak menjadi malaikat yang disucikan mahupun makluk fana yang uzur, tetapi kami berkongsi dengan alam malakut dan menjadi satu keadaan antara dua jenis keadaan.Ya Allah, aku merayu, terimalah perkongsian denganku, bantulah perubahanku, dan tolonglah aku mencapai Zat syurgawi-Mu.
Jun 2000

Melayu Sebagai Umat Contoh Kepada Semua.




Keluarga merupakan unit asas yang membentuk masyarakat dalam sesebuah negara. Seandainya keluarga itu pincang, masyarakat terbentuk juga akan terkena badai kepincangan tersebut. Sebaliknya jika sesebuah keluarga itu sempurna, binaan masyarakat yang akan lahir juga akan lebih teguh seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera. Masalah keruntuhan moral dan gejala sosial seperti mat rempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain terutamanya dikalangan Melayu Muslim begitu ketara sejak kebelakangan ini

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda masalah keruntuhan moral yang serius. Merujuk kepada Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga 2007, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Statistik ini menunjukkan betapa perlunya masyarakat Melayu khususnya, diberi kesedaran bahawa peranan sesebuah institusi keluarga amat penting dalam usaha menangani semua permasalahan gejala sosial dalam masyarakat.

Justeru itu,Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA),Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) dan JAKIM akan berganding tenaga mengadakan program yang julung kali akan diadakannya yakni Konvesyen Keluarga Melayu Muslim pada 9 Julai

Kepada mereka yang sudah berkeluarga,baru berkahwin,yang akan berkahwin mahupun yang bujang dapat bersama-sama memeriahkan konvensyen dan mendapat input-input yang menarik dalam agenda kita orang Muslim untuk membina keluarga,masyarakat dan negara yang diidam-idamkan.




http://konvensyenkeluarga.net/wp-content/uploads/2011/05/posterKKMMv4-FINAL.jpg

Dapatkan Segera daripada Istisyhad Bookstores