'Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami’ ,demikian sedikit petikan daripada kata-kata Hasan al Banna
Jadi,sempena bulan Ramadan yang diberkati ini,saya mengajak diri saya sendiri dan kawan-kawan lain untuk mencapai beberapa objektif penting.Mungkin perkara ini sudah biasa kedengaran,namun ia akan jadi bermanfaat bagi sesiapa yang mengambil perhatian.Objektif Ramadhan kali ini,mencapai status TAQWA:-
1.Aqidah yang sejahtera
Kita diberikan peluang dan ruang di bulan Ramadan ini untuk kita melakukan sebanyak mana mungkin amalan seperti qiamulail,puasa dan sebagainya kerana kita tahu,di sana,ada Tuhan yang melihat kita dan menilai kita.Kita jadikan ramadhan kita kali ini medan latihan untuk memantapkan ehsan.
2.Ibadah yang sohih.
Dalam setiap amalan kita,mungkin kali kita boleh perbaiki amalan-amalan kita dengan sebaiknya dengan beberapa perkara yang ingin saya gariskan.Antaranya ialah:-
- Mempelajari dari ustaz-ustaz atau sheikh2 tentang amalan dan sunnah ketika Ramadhan berdasarkan dalil syara'
- Usah kita memperbanyakkan yang sunat,jikalau yang wajib masih lompong.Usahakan memperbaiki yang lompong itu sebaik mungkin kemudian baru berpindah ke amalan-amalan sunat.
- Menjadikan ramadan bulan beribadah,bukan bulan adat dan kebiasaan orang-orang biasa seperti tarawih dan buka puasa.Ada orang yang berpuasa,tetapi tidak menutup aurat,berkhalwat,berbuka sama-sama dengan pasangan.
Apalah erti puasa dan ibadah-ibadah lain jika semua ini dianggap sebagai satu adat yang dilakukan hanya setahun sekali sahaja.
3.Akhlak yang mantap
Dari universiti ramadan ini,semestinya ia melahirkan para graduan yang berakhlak dengan kepujian.Latih diri melakukan perkara-perkara seperti menolong orang,ziarah,memberi salam dan sebagainya yang berkaitan dengan akhlak mulia.Dilatihnya setiap hari akan menjadikan jiwa ini otomatik untuk melakukan akhlak yang mulia pasca graduasi nanti.
4.Sangat Menjaga Masa
Di bulan ramadhan kita perlu meningkatkan amalan sebanyak mungkin kerana ini bulan megasale.Maka,perancangan waktu perlu dilakukan sebaik mungkin.Bila hendak tilawah,berapa juzuk sehari,pukul berapa hendak membaca mathurat,dan sebagainya.Dalam pelajaran pun boleh jaga masa,apa kata kita rancang dan sistematikkan ramadan kali ini.Ia bakal menjadi ramadan yang bermakna dan displin.
5.Mampu berdikari
Bulan puasa kali ini saya harap ia dapat melatih diri kita untuk menjadi lebih berdikari.Dengan tarbiyah 30 hari menahan lapar,saya rasa tidak mustahil kita menjadi seorang yang mampu berdikari dalam apa-apa yang kita lakukan.Tidak kira dalam dalam pekerjaan mahupun pelajaran dan sebagainya.
6.Sihat Tubuh Badan
Secara logiknya,pada bulan ramadanlah kita menghilangkan lemak-lemak dan berat-berat lebihan yang ada pada perut kita.Tetapi ironikanya,kebiasaanya bulan ramadanlah tempat kita menambahkan semua bagasi yang berat ini.Jadi,untuk ramadan kali ini,mungkin boleh dikurangkan makanan yang berminyak,kuih muih yang berlebihan,buffet yang mengancam dan sebagainya.
7.Teratur Urusannya
Ramadan bagi saya kali ini lebih kepada cuti dan sebagainya.Saya bercadang untuk mengatur ramadan saya kali ini dengan beberapa perkara.Ini supaya ramadan kita dipenuhi dengan aktiviti dan tidak begitu serabut dalam pengaturannya.
8.Bermanfaat kepada orang lain.
Di luar sana,tidak semua yang bernasib baik seperti mana kita.Ada yang tidak cukup wang untuk membeli keperluan untuk berbuka dan sahur .Jadi,kita boleh kurangkan beban dengan banyakkan menderma kepada mereka yang memerlukan.
9.Pengetahuan yang luas
Ramadan ini jangan terlupa untuk kita menyemak kembali sirah perjuangan nabi s.a.w terutama sekali yang berkaitan dengan puasa dan ramadan.Kita tambahkan serba sedikit ilmu tentang pensyariatan puasa,apa hukumnya,jenis-jenisnya supaya kita betul faham-faham tentang intipati ramadan yang sebenar.
10.Mujahadah nafsu
Jadi yang terakhir sekali,tidak boleh tidak kita perlulah sentiasa bermujahadah dengan nafsu kita.Hendak menyalahkan syaitan,mereka sudah digari.Tetapi nafsu sahaja yang tinggal menguasai.Ini cabaran terbesar bagi sesiapa pun dalam bulan ramadan mahupun bukan.
Jadi saya harap 10 perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam menambahkan kefahaman dan sama-sama kita menjadikan ramadan kali dan seterusnya lebih bermakna dan bermakna.Semoga amalan kita diterima di hadapan Nya insyallah.
No comments:
Post a Comment